Friday 31 May 2013

Ciri-ciri Tamadun

1. Pembentukan Petempatan kekal

- Petempatan awal terdiri daripada kampung yang didirikan berhampiran sungai. Kampung-kampung ini berkembang dan menjadi Bandar yang berperanan sebagai pusat tamadun awal

- Antara petempatan awal yang berkembang menjadi pusat tamadun awal ialah tamadun Indus (lembah sungai Indus), tamadun Mesir (lembah Sungai Nil), tamadun Mesopotamia (lembah Sungai Tigris dan Euphrates) dan tamadun Hwang Ho (Lembah Sungai Hwang Ho / Sungai Kuning)

2. Proses Pembandaran berlaku

- Pertambahan penduduk dan kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan kampung berkembang menjadi Bandar. Antara Bandar penting dalam tamadun awal ialah Mohenjo Daro dan Harappa di Lembah Sungai Indus; Anyang, Loyang dan Cheng Chow di lembah Sungai Kuning serta Thinis, Thebes dan Memphis di Mesir

- Bandar memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ekonomi, pusat pentadbiran, pusat keagamaan, pusat pendidkan dan pusat perindustrian

- Bandar-bandar berkembang pesat dan muncul negara kota seperti Babylon, Kish, Nippur, Lagash, Uruk, Ur, Eridu, Assur dan Mari di Mesopotamia

3. Pembentukan Organisasi sosial/susun lapis masyarakat

- Cara kehidupan bandar mewujudkan sistem sosial bersusun lapis terutamanya golongan memerintah dengan golongan yang diperintah. Sistem sosial dalam masyarakat tamadun awal berbentuk piramid. Lapisan paling atas terdiri daripada golongan pemerintah yang diketuai oleh raja, lapisan kedua ialah golongan pembesar yang terdiri daripada golongan pendeta, kumpulan pentadbir dan golongan cendikiawan. Lapisan ketiga ialah golongan rakyat biasa yang bergiat dalam aktiviti pertanian dan perdagangan dan lapisan terakhir ialah golongan hamba yang bergantung kepada lapisan-lapisan di atasnya

- Struktur masyarakat terbukti di Lagash, Ur dan Sumer di tamadun Sumeria dan Memphis di tamadun Mesir.

4. Pembentukan Sistem pemerintahan dan pentadbiran

- Dalam tamadun Mesir Purba, sistem pemerintahan diwujudkan untuk menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan dan mengurus pengagihan makanan di dalam negara. Kewujudan pemerintahan melahirkan sistem perundangan yang menjamin keamanan sesebuah tamadun

- Pemerintahan diterajui oleh raja dan dibantu oleh golongan bangsawan dan pegawai kerajaan

5. Agama dan kepercayaan

- Antara agama dan kepercayaan masyarakat tamadun awal ialah politeisme, animisme, kepercayaan dewa, dan pemujaan roh nenek moyang. Secara evolusi kepercayaan animisme berkembang menjadi politeisme, iaitu penyembahan lebih darpada satu tuhan. Kepercayaan politeisme terdapat dalam tamadun-tamadun awal seperti India, Mesir, Mesopotamia dan China

6. Pengkhususan kerja

- Masyarakat mula menjalankan pelbagai jenis kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pertukangan dan pembuatan. Perkembangan ini melahirkan golongan pedagang, peniaga, artisan yang menghasilkan pelbagai barangan mengikut kepakaran masing-masing.

- Golongan wanita terlibat dalam bidang pertanian manakala golongan lelaki berkhidmat sebagai tentera dan tukang-tukang mahir.

- Terdapat juga anggota masyarakat yang berkhidmat sebagai askar bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh

7. Bahasa dan tulisan

- Antara bahasa yang tertua ialah bahasa Yunani dan bahasa Sanskrit

- Sistem tulisan awal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Tulisan yang digunakan dalam tamadun awal membentuk gambar, simbol dan pepaku

- Antara peranan bahasa dan tulisan dalam tamadun awal ialah sebagai alat penyebaran ilmu pengetahuan, alat perhubungan dalam sesebuah masyarakat dan antara satu masyarakat dengan masyarakat lain untuk menyampaikan, memperkembangkan dan mencatatkan idea dan pemikiran manusia

8. Kemajuan Ekonomi

9. Kemajuan sains dan teknologi

10. Kemajuan undang-undang
 
Kesimpulan
 
- Secara keseluruhannya, kemajuan sesebuah tamadun itu menunjukkan bentuk kehidupan yang formal, berorganisasi dan lebih kompleks berbanding zaman sebelumnya

Konsep Tamadun

- Istilah tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu Mudun, Madain dan Madana. Perkataan Madana membawa maksud “tinggi budi bahasa atau pembukaan Bandar”.
- Dalam bahasa Inggeris, perkataan yang sinonim dengan tamadun ialah civilization berasal daripada perkataan Greek Civitas yang bermaksud “bandar”
- Bagi masyarakat Barat, tamadun ialah pencapaian lahiriah dalam hal pentadbiran, penulisan, undang-undang, kepercayaan, agama, kesenian, perbandaran, sistem tulisan dan adapt resam.
- Menurut Colin Renfew, terdapat tiga ciri yang menjadi pemangkin kepada lahiriah tamadun, iaitu kemunculan Bandar, tempat ibadat dan sistem tulisan
- Gordon Childe berpendapat revolusi urban meletakkan asas bagi perkembangan tamadun khususnya dari segi perkembangan budaya material, intelektual dan kesenian.
- Arnold J.Tonybee mentakrifkan tamadun sebagai suatu pemikiran dan gaya kebudayaan yang melahirkan institusi politik, undang-undang, kesenian, kesusasteraan, agama dan akhlak.
- Sarjana-sarjana Islam pula berpendapat tamadun merangkumi pembangunan dari segi lahiriah dan rohaniah. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat
- Dapat dirumuskan bahawa tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian lahiriah tetapi juga diiringi dengan pencapaian dalam aspek kerohanian



 





Maksud Tamadun

'TAMADUN' dapat didefinisikan kepada dua sudut iaitu sudut etimologi (bahasa) dan terminologi (istilah).

Sudut Etimologi (bahasa) :
Tamadun dapat dilihat daripada beberapa bahasa iaitu bahasa arab, inggeris dan bahasa malaysia.

Bahasa Arab :-

1) Tamaddun
- Berasal daripada perkataan madana ataupun tamaddana beerti pembukaan bandar ataupun perbuatan memperhalus budi pekerti yang terpuji. kadangkala juga ia dikaitkan dengan din yang bermaksud agama. Ia mula diperkenalkan oleh Jurji Zaydan.

2) Hadharah
- Berasal daripada perkataan hadhara dan berlawanan erti dengan badawa (kehidupan secara nomad) iaitu perbuatan duduk di bandar. Ia juga diertikan sebagai perilaku kehidupan yang tinggi. Ia seringkali digunakan oleh Malek Bin Nabi.

3) Thaqafah
- Berasal daripada perkataan thaqifa yang beerti kemajuan intelektual ataupun peradaban yang tinggi pada sudut kebudayaan dan perilaku.

4) Umran
- Berasal daripada perkataan amara yang bermakna rumah atau bangunan yang mewakili simbolik kemajuan dan peradaban. ia mula digunakan oleh Ibnu Khaldun.

5) Madani
- Perkataan madani ataupun madaniyyah juga berasal daripada perkataan madana yang beerti bandar atau kehidupan menetap di bandar. Ia mula digunakan secara meluas setelah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi dan Muhammad Abduh.


Bahasa Inggeris :-

1) Civilization
- Berasal daripada perkataan civitas dalam bahasa latin atau civic yang beerti kehidupan di bandar.

2) Urbanization
- Berasal daripada perkataan urban yang bermaksud kehidupan ala bandar ataupun kehidupan selepas proses urbanisasi.

3) Culture
- Beerti kebudayaan yang seringkali digunakan dan merujuk kepada kemajuan intelektual.


Bahasa Malaysia :-

1) Tamadun
- Berasal daripada perkataan arab iaitu tamaddun beerti keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaanserta perkembangan pemikiran yang tinggi.


2) Peradaban
- Berasal daripada kata nama adab iaitu keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa atau masyarakat.


3) Kemajuan
- Berasal daripada kata nama maju iaitu perihal maju taraf hidup, sama ada kemajuan material ataupun rohaniah.

4) Kemakmuran
- Berasal daripada kata nama makmur iaitu perihal makmur, mewah dan sejahtera.


Sudut Terminologi (istilah) :

Tamadun sering digambarkan sebagai kemajuan kebendaan atau maksud pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi. Namun ia sebenarnya melangkaui maksud pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi di samping kemajuan penempatan ala bandar serta kemudahan hidup yang sempurna.

Secara konteksualnya :

1) Sebahagian istilah tersebut menggambarkan kemajuan material semata-mata seperti umran, urbanization malahan juga perkataan kemajuan itu sendiri.

2) Terdapat juga sebahagiannya yang lebih menjurus kepada kemajuan spiritual dan intelektual seperti penggunaan istilah culture, peradaban ataupun thaqafah.

Kesimpulannya :

- Terminologi barat lebih menjurus kepada pencapaian kemajuan material yang tinggi.

- Islam melihatnya sebagai pencapaian kehidupan yang tinggi dan membangun menerusi proses urbanisasi dengan nilai, adab dan tatasusila hidup yang tinggi.

- Kamus dewan menganggapnya sebagai suatu keadaan masyarakat manusia yang dicirikan atau didasari pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, sosial, budaya, politik dan moral yang tinggi peradabannya.